UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS (UNIMAP)

NAMA PENUH IPTA / POLITEKNIK PREMIER
:
UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS (UNIMAP)
ALAMAT
:
JABATAN PENDAFTAR UNIMAP
UNIT KEMASUKAN DAN REKOD PELAJAR
TINGKAT 3, BANGUNAN KWSP
JALAN BUKIT LAGI
01000
 KANGAR
PERLIS
NO. TELEFON
:
Talian 1 : +6 04-9798701
Talian 2 : +6 04-9798702
Talian 3 : +6 04-9798706
Talian 4 : +6 04-9797941
NO. FAKS
:
+6 049798703
E-MEL
:
kemasukan@unimap.edu.my
LAMAN WEB
:
http://www.unimap.edu.my


LATARBELAKANG DAN SEJARAH

 

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) diluluskan sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada 25 Julai, 2001 dan mula beroperasi pada Jun, 2002. Tujuan utama penubuhan UniMAP ialah untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir dan berkebolehan untuk merekabentuk, membina, menguji dan menyelenggara pelbagai peralatan dan sistem. Tenaga kerja mahir ini juga seharusnya berketerampilan dalam pelbagai bidang strategik dan berupaya mencari penyelesaian kepada pelbagai bentuk masalah menerusi pemikiran yang inovatif. Mulai Sidang Akademik 2009/2010 yang lalu, buat pertama kalinya UniMAP menawarkan program pengajian dalam bidang perniagaan. Salah satu matlamat penawaran program pengajian berkenaan adalah melahirkan usahawan tekno yang berpengetahuan dalam bidang keusahawanan dan perniagaan serta mempunyai kemahiran asas dalam kejuruteraan. Pada Sidang Akademik 2011-2012, UniMAP telah menawarkan program pengajian dalam bidang Teknologi Kejuruteraan. Ianya bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam membina genarasi berilmu, berkemahiran tinggi dan menyumbang kepada agenda pendapatan tinggi negara.


 

MISI UniMAP

 

Melahirkan modal insan kamil yang menyumbang kepada agenda pembangunan dan daya saing industri negara.


 

VISI UniMAP

 

Institusi akademik dan penyelidikan yang berdaya saing di persada antarabangsa.


 

KEDUDUKAN SEKARANG

 

Kampus tetap UniMAP (Kampus Alam) adalah di Ulu Pauh seluas (1028 ekar) dan di Sg. Chuchuh seluas (253 ekar) dan masih di peringkat pembangunan. Buat masa ini, kampus UniMAP adalah merupakan kampus yang bersifat bertaburan (distributed). UniMAP kini beroperasi di lokasi-lokasi seperti berikut:


Kangar :
  Jabatan Canselori (Pejabat Naib Canselor, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)), Jabatan Pendaftar, Jabatan Bendahari, Perpustakaan, Jabatan Pembangunan, Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Pusat Kerjasama Industri, Pusat Pengajian Siswazah, Institut Kejuruteraan Nano Elektronik, Unit Penyelidikan & Pembangunan (R&D), Kluster-kluster penyelidikan, Pusat Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti, Unit Pengajaran & Pembelajaran, Unit Pembangunan Lestari, Unit Kajian Strategik, Unit Multimedia, Unit Audit Dalam, Unit Perundangan, Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Pusat Islam, Unit Kebudayaan & Rekreasi, Unit Penerbitan, Unit Pengurusan Harta, Jabatan Keselamatan, dewan/bilik kuliah dan makmal.
 

Kubang Gajah : Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), PALAPES, Rumah Universiti, Galeri UniMAP, Unit Komunikasi Korporat, Pusat Sukan (Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni), dewan kuliah dan makmal.
 

Jejawi : Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) (PPK Mikroelektronik, PPK Bahan, PPK Alam Sekitar dan PPK Bioproses), Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan & Teknousahawan, Pusat Kemahiran Komunikasi & Keusahawanan, Unit Enterprise Kecil Sederhana, Pusat Ko-Kurikulum, dewan/bilik kuliah dan makmal.
  

Kampus Tetap Ulu Pauh : Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) (PPK Mekatronik dan PPK Pembuatan), dewan/bilik kuliah dan makmal.

 

Kampus Sg. Chuchuh : Unit Pembangunan Agroteknologi, makmal, dewan kuliah dan 14 ekar kawasan tanaman untuk Stesen Agroteknologi.


Bintong :  Kolej Kediaman & Pejabat SUKSIS.


Kuala Perlis :  Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK Komputer & Perhubungan dan PPK Sistem Elektrik), Institut Matematik Kejuruteraan, Pusat Kejuruteraan, Unit Penyelarasan Program Diploma, Kolej-Kolej Kediaman, Bilik Bersih (Semiconductor Clean Room), Kilang Mengajar, Klinik Kesihatan, dewan/bilik kuliah dan makmal.

Kuala Lumpur dan Kulim: Anjung UniMAP.


 

KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN

 

Secara ringkasnya infrastruktur fizikal yang terdapat di UniMAP pada ketika ini sekitar 130 buah makmal, 42 buah dewan & bilik kuliah, Perpustakaan, Pusat Kejuruteraan, Kilang Mengajar, Semiconductor Clean Room, Stesen Penyelidikan Agroteknologi dan lain-lain lagi.

 

Selain itu, infrastruktur dan perkhidmatan ICT yang disediakan oleh Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi UniMAP terbahagi kepada rangkaian komputer (contohnya capaian internet di semua lokasi kampus-punca data UTP & wireless Access Point, akaun email staf-Zimbramail & pelajar-Qmail, Access Control System, Time Management System serta IP camera) dan juga perkhidmatan sistem maklumat (contohnya lawan web dan portal UniMAP, Sistem Pengurusan Akademik, Sistem Pengurusan Sumber Manusia, Sistem Kewangan Universiti, Sistem Perpustakaan Universiti, Sistem k-Kedatangan serta Sistem E-Learning/E-Module).

 

Perpustakaan UniMAP turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti Mesin Peminjaman Secara Layan Diri (Self-check), Mesin Pemulangan Secara Layan Diri (Book drop), ruang bacaan dan diskusi, Bilik Pembelajaran Berbantukan Komputer (C.A.I), ruang tayangan dan sebagainya.

 

Buat masa ini pihak UniMAP masih belum lagi dapat menyediakan kemudahan yang sepenuhnya untuk golongan OKU di lokasi kampus bertaburan (distributed campus). Walau bagaimanapun, perkara ini akan dititikberatkan dalam pembinaan kampus tetap kelak.


 

MATLAMAT DAN FALSAFAH

 

Program Sarjana Muda Kejuruteraan di UniMAP mempunyai matlamat untuk menghasilkan graduan kejuruteraan yang berketerampilan didalam pelbagai bidang strategik yang berupaya mencari penyelesaian kepada pelbagai bentuk masalah menerusi pemikiran yang inovatif. UniMAP menitikberatkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran seiring dengan perkembangan industri, sama ada dalam bentuk komponen teori mahupun amali. Kefahaman pelajar terhadap kefahaman teori dipertingkatkan melalui input-input amali yang disediakan di samping komponen rekabentuk, penyelesaian masalah, kerja berkumpulan, penyediaan dan pembentangan laporan. Semasa mengikuti program akademik, pelajar juga akan dibekalkan dengan kemahiran berkomunikasi, keusahawanan, pengurusan, perakaunan, ko-kurikulum dan pembangunan sahsiah. Pelajar juga diwajibkan mengikuti kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia serta Budaya dan Hubungan Etnik. Ini bertujuan untuk melahirkan jurutera yang bukan sahaja cekap dalam bidang kejuruteraan yang mereka ikuti malah berkebolehan untuk berdikari serta mempunyai sikap insan kamil yang terpuji.

 

Dalam pada itu, salah satu matlamat penawaran program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan Kejuruteraan) ialah melahirkan usahawan tekno dengan menyediakan pelajar segala pengetahuan khusus dalam bidang keusahawanan dan pengurusan perniagaan serta ilmu dan kemahiran asas dalam bidang kejuruteraan. Manakala, program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) bertujuan melahirkan graduan yang berpengetahuan serta berkebolehan mengendalikan urusan perniagaan di arena antarabangsa sesuai dengan kedudukan Malaysia yang  semakin meningkat dalam konteks perdagangan antarabangsa.


 

SISTEM PENGAJIAN

 

UniMAP mengamalkan sistem semester iaitu satu Sidang Akademik dibahagikan kepada dua (2) semester yang tiap-tiap satunya mengambil masa 14 minggu pembelajaran. Selain daripada itu pelajar dikehendaki menjalani latihan industri diluar semester pangajian sekurang-kurangnya 12 minggu. Penilaian akademik pelajar-pelajar adalah dilakukan sepanjang semester dan gred-gred pencapaian dari tahun pertama pengajian sehingga tahun akhir pengajian akan diambil kira untuk menentukan pencapaian keseluruhan pelajar di akhir pengajian.


 

PUSAT-PUSAT PENGAJIAN DAN PROGRAM PENGAJIAN YANG DITAWARKAN

 

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menawarkan 24 program peringkat Ijazah Sarjana Muda iaitu 21 Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, 1 Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dan 2 Program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, di bawah 9 buah Pusat Pengajian seperti berikut:

1. Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik
 
a. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Mikroelektronik) - RK05

Program ini direkabentuk untuk membekalkan tenaga mahir yang juga cekap dan berkebolehan mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari untuk menyokong pertumbuhan pesat industri mikroelektronik di negara kita. Graduan program ini akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam kedua-dua bidang rekabentuk dan fabrikasi litar terkamir (integrated circuits, ICs), dengan pengkhususan di bidang fabrikasi litar terkamir. Peluang kerjaya para graduan di bidang ini amat meyakinkan. 

b. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Elektronik) - RK86

Program ini telah diperkenalkan untuk menentukan Malaysia terus mampu berdaya saing dalam industri semikonduktor. Para graduan yang dilahirkan akan boleh menyumbang sebagai tenaga mahir tempatan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari dalam bidang-bidang elektronik dan rekabentuk serta fabrikasi litar terkamir (integrated circuits, ICs), dengan pengkhususan dalam merekabentuk sistem-sistem mikroelektronik. Peluang pekerjaan dalam bidang ini juga terbuka luas terutamanya di beberapa syarikat multi-nasional antaranya Intel, Infineon, Silterra, Motorola, MIMOS, Flextronics, Agilent Technologies dan Avago Technologies. Program ini meyakinkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja separa profesional selaras dengan perkembangan Pelan Induk Perindustrian Negara.

c. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Fotonik) - RK89

Program ini diperkenalkan bertujuan untuk menghasilkan jurutera yang berupaya menangani cabaran-cabaran globalisasi dan K-ekonomi ke arah mencapai tahap negara maju sepenuhnya. Terdapat permintaan yang tinggi untuk jurutera fotonik yang mempunyai ilmu pengetahuan asas yang tinggi di dalam bidang asas semikonduktor dan fotonik. Fotonik merupakan bidang sains dan teknologi yang melibatkan penjanaan dan pengawalan foton, terutamanya dalam spektrum cahaya nampak dan hampir kepada cahaya infra-merah. Dalam program ini pelajar didedahkan kepada asas-asas optik, elektronik kuantum, bahan-bahan dan sistem optoelectronic dan komponen fotonik. Dengan wujudnya program kejuruteraan fotonik secara tidak langsung dapat membekal modal insan kepada industri di Malaysia khususnya.


2. Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan
 
a. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Komputer) - RK20

Program ini telah diperkenalkan untuk membekalkan tenaga pekerja mahir serta cekap dalam merekabentuk perkakasan dan perisian di mana penumpuan diberikan kepada rekabentuk sistem terbenam dan sistem komputer. Ia selaras dengan pertumbuhan pesat industri perkakasan dan perisian komputer di Malaysia. Berbekalkan kelebihan sistem pengajaran secara aplikasi pengetahuan terhadap perisian-perisian dan perkakasan-perkakasan yang berkaitan dan terkini. Dengan pengetahuan tersebut para graduan akan mempunyai keyakinan yang tinggi serta dapat menyesuaikan diri dengan cepat sama ada dalam sektor industri atau R&D.

b. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Perhubungan) - RK53

Program ini diperkenalkan untuk menghasilkan graduan profesional yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran khusus dalam bidang kejuruteraan perhubungan yang berkait rapat seperti industri telekomunikasi tanpa kabel, teknologi sistem gelombang mikro, sistem gentian optik, sistem perhubungan satelit dan teknologi antena. Graduan program Sarjana Muda Kejuruteraan Perhubungan berpeluang menceburi industri telekomunikasi negara yang kini pesat membangun. Para lulusan juga mempunyai pilihan kerjaya yang luas dalam sektor pengendalian perkhidmatan telekomunikasi sama ada di sektor industri, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta firma-firma perundingan.

c. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Rangkaian Komputer) - RK93

Program ini diperkenalkan bagi memenuhi keperluan jurutera rangkaian komputer yang kompeten di dalam memahami, merekabentuk, menganalisa dan mengenal pasti masalah-masalah yang berkaitan dengan peranti elektronik dan perisian di dalam sistem rangkaian komputer dan telekomunikasi. Asas pengukuhan jurutera yang dihasilkan adalah berdasarkan kepada bidang elektronik, sistem telekomunikasi dan pengetahuan tambahan yang berkaitan dengan rangkaian komputer. Kepelbagaian sistem rangkaian pada masa kini dan akan datang sama ada berwayar atau pun tanpa wayar menjadi suatu kemestian bagi jurutera ini memahami teori yang berkaitan dengan asas elektronik, media dan sistem penghantaran digital, teknik pengkodan, pengaturcaraan, kejuruteraan trafik dan keselamatan rangkaian. Para graduan berpeluang bekerja di industri elektronik yang berkaitan, sektor IT terutama pengendalian sistem rangkaian dan penyelidikan di dalam bidang kejuruteraan elektronik, telekomunikasi, komputer dan rangkaian.


3. Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik
 
a. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Sistem Elektrik) - RK23

Program ini tertumpu kepada beberapa bidang utama iaitu sistem kuasa, mesin elektrik dan kejuruteraan voltan tinggi. Pelajar yang mengikuti kursus ini akan mempelajari keseluruhan operasi di dalam sistem kuasa merangkumi penjanaan, penghantaran, perlindungan dan pengagihan kuasa. Selain itu, kursus ini turut meliputi rekabentuk mesin elektrik dan teknik-teknik kawalan. Pelajar juga akan mempelajari bidang kejuruteraan voltan tinggi bagi mengukuhkan pengetahuan mereka. Secara umumnya bidang kejuruteraan sistem elektrik mempunyai skop yang luas terutamanya di sektor penjanaan kuasa dan pembaharuan tenaga elektrik.
 
b. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Elektronik Industri) - RK45

Program ini tertumpu kepada proses dan teknik kawalan mesin industri yang menggunakan litar elektronik. Pelajar yang mengambil kursus ini akan mempelajari aplikasi dan kawalan litar-litar elektronik di dalam sistem pengaturan, kawalan motor dan kawalan proses. Secara umumnya, bidang elektronik industri merangkumi skop yang luas terutamanya di dalam penggunaan robot, pemacu halaju berubah, pengawal mesin PLC dan sebagainya.

c. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektrik Sistem Tenaga) - RK96

Program ini tertumpu kepada aspek teknologi penjanaan dan pengurusan tenaga elektrik yang meliputi tenaga elektrik yang boleh diperbaharui serta sumber-sumber tenaga alternatif. Pelajar yang mengikuti kursus ini akan mempelajari keseluruhan operasi dalam sistem tenaga elektrik merangkumi penjanaan, penghantaran, perlindungan dan pengagihan serta pengurusan sumber tenaga. Secara umumnya bidang kejuruteraan elektrik sistem tenaga mempunyai skop yang luas terutamanya di sektor penjanaan kuasa dan pembaharuan tenaga elektrik.

4. Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan
 
a. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Bahan) - RK12

Program ini bertujuan melahirkan jurutera bahan yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi terutama dalam bidang kejuruteraan dan sains bahan, sifat-sifat bahan, pengujian, pemilihan, pemprosesan bahan dan kegunaan bahan-bahan yang terbaik untuk kegunaan manusia sejagat. Ini meliputi bahan untuk rekabentuk produk industri yang canggih dan berteknologi tinggi.

Kejuruteraan Bahan adalah bidang yang memperihalkan pengkajian dan penggunaan prinsip sains bahan supaya bahan boleh direka bentuk menjadi benda atau produk penting yang diperlukan manusia. Para jurutera bahan berkait rapat dengan pelbagai jenis bahan utama iaitu: logam, polimer, seramik, komposit, bahan elektronik, bahan-bio, semikonduktor dan superkonduktor. Kejuruteraan bahan mengaplikasikan prinsip sains dan kejuruteraan untuk memahami sifat-sifat bahan. Disiplin ini menjalinkan hubungan di antara kimia moden dengan fizik keadaan pepejal, selain daripada rekaan kejuruteraan dan analisis matematik. 
 
b. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Metalurgi) - RK56

Program ini bertujuan untuk menyediakan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan yang tinggi terhadap jurutera metalurgi di dalam sektor perindustrian berasaskan logam. Keadaan ini juga disokong oleh pertumbuhan pesat sektor industri besi dan keluli itu sendiri dalam menampung kepesatan pembangunan negara seperti mana respon yang dibuat oleh MISIF (Malaysian Iron Steel Industries Federation). Trend terkini turut menunjukkan jurutera metalurgi sangat diperlukan di dalam sektor perindustrian berasaskan elektronik (pembungkusan elektronik), perindustrian berasaskan automotif, perindustrian berasaskan minyak dan gas dan perindustrian berasaskan aplikasi logam.

Program ini memfokuskan kajian terhadap logam, keluli, aloi logam, komposit logam, logam termaju, aloi pintar, pengekstrakan dan pemprosesan logam (penggelekan, penyemperitan, metalurgi serbuk dan penuangan). Ia menyediakan kefahaman mengenai kaedah proses penghasilan dan sifat-sifat logam. Kursus-kursus yang ditawarkan oleh program ini adalah aloi kejuruteraan, metalurgi fizikal, metalurgi mekanikal, metalurgi pengekstrakan, metalurgi kimpalan, metalurgi serbuk, foundri, kejuruteraan kakisan, pencirian logam, pengujian logam dan ujian tak musnah. Perkembangan pesat dan permintaan yang tinggi terhadap produk logam turut menuntut keupayaan jurutera metalurgi yang berkemahiran tinggi dalam usaha menghasilkan produk bermutu pada kos yang optimum.

c. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Polimer) - RK32

Program ini bertujuan menyediakan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan yang  tinggi terhadap jurutera yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi di dalam bidang kejuruteraan dan sains polimer, sifat-sifat polimer, pengujian, rekabentuk produk/proses, pemilihan bahan dan pemprosesan polimer. Pertumbuhan pesat industri berkaitan bahan polimer seperti industri plastik, lateks, elektronik, automotif, aeroangkasa, bio-material dan lain-lain industri pembuatan berkaitan bahan polimer di negara kita merupakan pendorong utama kepada program ini. Selain itu, perkembangan pesat dalam bidang komposit berkaitan bahan polimer juga memerlukan sokongan dari jurutera polimer yang berkemahiran tinggi bagi mengaplikasikan pengetahuan dan sumber bagi menyumbang kepada penyelesaian pelbagai permasalahan berkaitan kejuruteraan polimer.

Bidang kejuruteraan polimer adalah berkaitan dengan struktur dan sifat bahan-bahan polimer yang mempunyai aplikasi-aplikasi kejuruteraan. Kurikulum kejuruteraan polimer menekankan pemahaman pelajar dalam pengetahuan asas tentang sifat-sifat bahan polimer seperti termoplastik, elastomer, lateks dan termoset  serta kaedah pemprosesannya kerana bahan-bahan ini merupakan keperluan di dalam hampir setiap industri. Sifat-sifat polimer merangkumi aspek berkaitan bahan polimer termasuk struktur,  pengujian dan pencirian polimer. Manakala pemprosesan polimer merangkumi asas pengetahuan dan teknik di dalam pemprosesan termoplastik, termoset dan getah, sifat reologi, kaedah pemprosesan, penyelesaian kepada masalah pemprosesan, serta kaitan antara parameter pemprosesan dan kualiti hasilan.


5. Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan
 
a. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Pembuatan) - RK13

Objektif utama program ini adalah untuk melatih pelajar dalam bidang kejuruteraan pembuatan melalui penjanaan dan penyebaran teknik-teknik berinovasi dalam pengajaran dan penyelidikan. Perjalanan kursus telah dirangka ke arah melahirkan jurutera yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari. Pelajar-pelajar dibekalkan dengan kebolehan merekabentuk, membangun dan melaksanakan sistem bersepadu yang menggabungkan unsur-unsur kemanusiaan, bahan, peralatan, maklumat dan tenaga. Struktur program ini adalah berlandaskan silibus kejuruteraan mekanikal yang merangkumi teras seperti Mekanik, Termo-bendalir, Bahan, Pembuatan, Kawalan, Mekatronik dan juga Pembuatan Termaju, Sistem Pembuatan di samping kursus-kursus universiti yang menerapkan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, pengurusan, dan keusahawan.

Dengan itu, kemahiran yang diterapkan akan membantu melahirkan jurutera yang berkebolehan menangani sebarang masalah dalam pelbagai industri. Graduan program ini juga dilatih supaya bersikap profesional dalam menjalankan tugas dengan mempraktikkan proses pembelajaran berterusan sama ada secara formal atau tidak formal.

Graduan program ini mempunyai pengetahuan berbentuk 'inter-disciplinary', berkebolehan dalam bidang teknikal, pengurusan industri dan teknologi. Graduan ini berpeluang untuk bertugas sebagai jurutera pembuatan dalam pelbagai industri seperti automotif, elektronik, farmasiutikal, tekstil serta industri pemprosesan makanan. 
  
b. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Rekabentuk Produk) - RK84

Objektif program ini adalah untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang kejuruteraan rekabentuk produk. Para graduan juga akan diterapkan dengan budaya ilmu supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai seorang jurutera.Struktur program ini adalah berlandaskan silibus kejuruteraan mekanikal yang merangkumi teras seperti Mekanik, Termo-bendalir, Bahan, Pembuatan, Kawalan, Mekatronik dan juga Rekabentuk di samping kursus-kursus universiti yang menerapkan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, pengurusan, dan keusahawan.

Kemahiran yang diterapkan akan membantu melahirkan jurutera rekabentuk produk yang berkebolehan menangani sebarang masalah dalam pelbagai industri. Graduan program ini juga dilatih supaya bersikap profesional dalam menjalankan tugas dengan mempraktikkan proses pembelajaran dan penyelidikan berterusan sama ada secara formal atau tidak formal.

Terdapat permintaan yang tinggi untuk jurutera rekabentuk produk yang mempunyai ilmu pengetahuan asas dalam bidang teknologi pembuatan, sifat-sifat bahan, kejuruteraan rekabentuk industri, pengujian, pemilihan dan pemprosesan bahan untuk menjadi produk kegunaan pelanggan seperti dalam industri automotif, aeroangkasa, elektronik dan sebagainya.


6. Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik
 
a. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Mekatronik) - RK24

Program ini bertujuan melahirkan tenaga kerja profesional yang mempunyai pengetahuan asas yang kukuh serta mahir dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik.  Graduan juga mempunyai semangat profesionalisme yang tinggi.  Justeru itu, struktur kurikulum telah dibentuk untuk memberi pelajar kebolehan menganalisa, merekabentuk, mengendali dan menyelenggara peralatan-peralatan elektrik & elektronik, mekanikal, perisian komputer dan teknologi maklumat.  Selain daripada kursus teras kejuruteraan, pelajar juga diberikan kemahiran insaniah seperti etika, pengurusan, keusahawanan, komunikasi dan kemahiran berfikir.  Selain daripada itu, para pelajar diwajibkan menjalani latihan industri bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan teknikal dari industri. 

Graduan program ini mempunyai prospek pekerjaan yang luas dalam syarikat-syarikat swasta, industri, jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun. Ia merangkumi bidang-bidang seperti bidang kejuruteraan, pengeluaran, penyelidikan, rekabentuk, analisis, pembangunan, pengujian dan lain-lain bidang yang berkaitan. 
 
b. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Mekanikal) - RK08

Objektif program ini adalah bertujuan melahirkan tenaga mahir di peringkat ikhtisas serta  mempunyai semangat profesionalisme dan pengetahuan asas yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.  Struktur kurikulum dibentuk agar para graduan mempunyai kebolehan serta kepakaran menganalisa, merekabentuk dan menghasilkan produk serta mampu mengadaptasi perubahan-perubahan sektor pekerjaan yang bakal ditempuhi. Selain daripada kursus teras kejuruteraan, pelajar juga diberikan kemahiran insaniah seperti etika, pengurusan, keusahawanan, komunikasi dan kemahiran berfikir. Selain daripada itu, para pelajar diwajibkan menjalani latihan industri bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan teknikal dari industri.

Para graduan mempunyai prospek pekerjaan yang meluas di sektor awam dan swasta iaitu industri pembuatan, pengeluaran, institusi pembangunan dan penyelidikan, jabatan-jabatan kerajaan, badan berkanun dan lain-lain. Antara bidang-bidang yang berkaitan ialah mekanikal, haba, aliran bendalir, pembangunan produk-produk kejuruteraan dan produk pintar (smart products) yang mengintegrasikan pengetahuan elektronik, mikropemproses, dan sistem kawalan.
 
c. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan) - RK85

Program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan berperanan untuk menghasilkan jurutera bioperubatan yang mempunyai asas yang kukuh serta berkemampuan tinggi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, rekabentuk, pembuatan, penyelenggaraan, pemasaran dan pengurusan yang mengkhusus dalam bidang yang berkaitan.

Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan merupakan satu bidang ilmu yang menggabungkan ilmu kejuruteraan elektrikal, elektronik, mekanikal bahan serta ilmu perubatan seperti anatomi, fisiologi, dan radiologi. Hasil dari kombinasi ilmu tersebut digunakan untuk membangunkan teknologi terkini dalam bidang perubatan.

Bakal graduan program ini akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi sebagai seorang jurutera bioperubatan yang boleh mengadunkan pengetahuan kejuruteraan elektronik, kejuruteraan mekanikal  serta sistem biologi manusia bagi menghasilkan instrumen bioperubatan dan peralatan perubatan yang lain.  Selain daripada kursus teras kejuruteraan, pelajar juga diberikan kemahiran insaniah seperti etika, pengurusan, keusahawanan, komunikasi dan kemahiran berfikir.

Graduan dari program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan berpotensi untuk berkhidmat di hospital-hospital, syarikat-syarikat penyelenggaraan peralatan perubatan, institusi penyelidikan dan pembangunan produk perubatan serta industri peralatan elektronik.


7. Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses
 
a. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Bioproses) - RK28

Program ini bertujuan melahirkan tenaga mahir di peringkat profesional serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang kejuruteraan bioproses berteraskan kejuruteraan kimia dan juga bidang berkaitan seperti bioteknologi yang semakin berkembang selaras dengan pelan perindustrian negara dan Dasar Bioteknologi Negara. Untuk itu, graduan yang dilahirkan mampu untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran untuk berdepan dan menyelesaikan masalah kejuruteraan, terutamanya kejuruteraan bioproses. Disamping itu, graduan yang dihasilkan dapat memenuhi aspirasi negara menjadikan bidang bioteknologi sebagai suatu bidang dalam penjanaan sektor ekonomi negara melalui perkembangan bidang teknologi bioproses yang merupakan teras dan pendokong utama dalam proses pengkomersialan hasil penyelidikan bioteknologi.

Struktur kurikulum telah dibentuk dengan memberi penekanan kepada pemahaman teori dan diaplikasikan melalui amali makmal, pembelajaran berbantu komputer, kerja bengkel, latihan industri dan projek yang berlandaskan rekabentuk atau penyelesaian masalah teknologi. Para graduan mempunyai prospek pekerjaan yang luas di mana keperluan terhadap tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan bioproses amat tinggi selaras dengan matlamat kerajaan untuk memajukan bidang bioproses. 

b. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Biosistem) - RK90

Program ini diperkenalkan untuk menghasilkan graduan yang profesional, serba boleh, dan berkemahiran dalam menangani dan mengurus bidang Kejuruteraan Biosistem yang bertunjangkan sektor pertanian bagi tujuan pengeluaran makanan dengan persekitaran yang lestari dan berteknologi. Graduan berpengetahuan menggabungkan dan mengaplikasikan prinsip dan teori  kejuruteran dalam  pelbagai aspek sistem biologi untuk menjamin kebolehupayaan, keselamatan dan kelasterian sistem pengeluaran makanan berteknologi tinggi melalui mekanisasi dan automasi. Latihan industri akan menambahkan kemahiran para garaduan untuk menyesuaikan diri di alam perkerjaan dengan cepat.

Graduan program ini berpeluang membina kerjaya sebagai jurutera dan pengurus dalam bidang dan industri berkaitan pertanian, perladangan, pengeluaran dan pemprosesan bahan input dan teknologi pertanian, penyelidikan dan pengurusan sistem  biologi  mapan selaras dengan matlamat negara untuk memajukan dan melestarikan industri berasaskan pertanian.

 

 

c. Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian) (Bioteknologi Industri) - RY21

 

Program ini ditawarkan dengan tujuan melahirkan graduan yang memiliki kemahiran praktikal, diterima pasaran kerja sebagai jurutera teknologi dan ahli bioteknologi berkelayakan yang berjaya dalam kerjaya serta memenuhi kehendak industri berasaskan bioteknologi. Program pengajian ini juga bertujuan melahirkan graduan yang memiliki tahap kefahaman yang mendalam dan menyeluruh terhadap prinsip asas sains dan teknologi kejuruteraan yang menjadi asas kepada bioteknologi serta  mampu untuk mendalami pengetahuan dan kemahiran selaras dengan kepantasan perubahan dalam industri dan bidang bioteknologi. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk membangunkan graduan yang mempunyai kemampuan menyumbang perkhidmatan kepada masyarakat dengan mempromosi nilai-nilai etika dan profesional, memahami implikasi keselamatan serta menghayati sumber semula jadi dan alam sekitar.

 

Program ini dirangka secara spesifik untuk menyediakan pelajar dengan adunan teori dan kemahiran teknikal dalam disiplin-disiplin berasaskan bioteknologi seperti mikrobiologi, teknologi penapaian dan prinsip-prinsip kejuruteraan bagi kegunaan industri bioteknologi. Kesemua disiplin ini   diintegrasikan di dalam kurikulum pengajian teknologi kejuruteraan kimia yang menekankan latihan praktik yang intensif di samping menyediakan kemahiran berkomunikasi dan lain-lain kemahiran insaniah yang mantap. Graduan yang dilengkapi dengan kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah ini akan dapat berkhidmat dalam industri berasaskan bioteknologi seperti bio-bahan api, bio-farmaseutikal, enzim, bio-bahan dan bio-tenaga demi menjamin penggunaan sumber semula jadi yang lestari.

 

 

8. Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar
 
a. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Alam Sekitar) - RK07

Objektif program ini adalah bertujuan untuk melahirkan tenaga manusia di peringkat iktisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar. Para graduan juga diterapkan dengan budaya ilmu supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai usahawan profesional. Kurikulum Kejuruteraan Alam Sekitar boleh dikaitkan dengan kurikulum yang dibina berpandukan falsafah pencegahan penjanaan sisa/rawatan sisa dan pendedahan pelajar kepada aspek kejuruteraan sistem sekitaran (termasuk teknologi elektrik/elektronik/mekanikal/komputer instrumentasi/kawalan proses dan informatik sekitaran) serta kurikulum yang holistik dan unik.

Prospek pekerjaan dan kerjaya para graduan setelah tamat kursus amatlah luas kerana mereka dilatih secara multidisiplin yang melibatkan kajian mikrobiologi, kimia, ekologi selain dari prinsip-prinsip kejuruteraan. Antara sektor-sektor yang menawarkan peluang pekerjaan adalah seperti industri-industri berasaskan komoditi, industri petrokimia, industri kimia, industri olahan air, air sisa, sisa pepejal, sisa berbahaya, industri pemprosesan dan pembuatan, institusi-institusi penyelidikan dan pembangunan dan pendidikan, jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar, JPS dan JKR, badan-badan berkanun seperti MARDI, PORIM, SEDC, NIOSH dan lain-lain serta NGO sekitar dalam dan luar negara.

b. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Bangunan) - RK82

Objektif program ini adalah bertujuan melahirkan para graduan yang berkelayakan akademik dan berkemahiran di dalam bidang kejuruteraan bangunan dan kejuruteraan struktur. Para graduan juga mampu mengaplikasikan ilmu yang diberikan dan menjadi jurutera profesional. Pelajar-pelajar yang mengikuti program ini akan didedahkan dengan pelbagai bidang ilmu mengenai kejuruteraan bangunan yang meliputi rekabentuk struktur bangunan, asas bangunan, teknologi konkrit dan besi, geomatik, penyelenggaraan bangunan, perkhidmatan bangunan, pengurusan projek binaan, IBS, teknologi bangunan pintar dan bahan binaan.

Prospek pekerjaan dan karier bagi bakal graduan adalah amat cerah kerana bidang ini sudah lama sinonim dengan pembangunan tamadun manusia. Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Bangunan akan mendapat peluang pekerjaan di agensi-agensi kerajaan dan swasta. Mereka berpeluang berkhidmat sebagai kontraktor dan jurutera dalam industri pembinaan, jurutera perunding bangunan atau struktur, pegawai penyelidik (R&D) di institusi akedemik dan penyelidikan dan juga agensi kerajaan seperti JKR, JPS dan Majlis Perbandaran serta Kerajaan Tempatan.


9. Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan 
 
a. Sarjana Muda Perniagaan  (Kepujian) (Perniagaan Antarabangsa) - RE09

Matlamat program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan serta berkebolehan mengendalikan urusan perniagaan di arena antarabangsa sesuai dengan kedudukan Malaysia yang semakin meningkat dalam konteks perdagangan antarabangsa serta melahirkan tenaga pakar sebagai pengurus atau pekerja dalam apa jua dunia perniagaan.  Maka, ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang isu global serta ilmu perniagaan antarabangsa merupakan persediaan penting untuk menghadapi dunia perniagaan yang lebih kompetitif.

Graduan daripada program ini dapat memahami intipati untuk menjalankan pengurusan perniagaan di Malaysia dan di peringkat global di samping memahami faktor budaya, bahasa, sistem politik, geografi, dan sosio ekonomi di arena domestik dan global.  Mereka juga mempunyai kebolehan menggabungkan dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari, berketrampilan, boleh berdikari serta berupaya mencari penyelesaian kepada pelbagai bentuk masalah melalui pemikiran yang inovatif dan kreatif serta mempunyai sifat mulia dan terpuji.

Selain itu, program ini juga dapat menarik minat pelajar-pelajar antarabangsa untuk belajar di Malaysia dalam bidang pengurusan perniagaan sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan pendidikan tinggi di Malaysia bertaraf dunia (world class education).

Kerjaya utama bagi graduan lulusan program ini adalah sebagai pengurus dalam bidang pekerjaan yang berasaskan kemahiran pengurusan, operasi, kewangan, audit, pelaburan dan perbankan, sumber manusia , pemasaran dan teknologi maklumat.   Graduan ini juga berkemampuan memberikan perkhidmatan pakar dalam sektor penyelidikan dan pembangunan industri perniagaan, khidmat nasihat perniagaan, urusniaga import-export, percukaian di syarikat multinasional, industri tempatan, industri kecil, universiti dan badan korporat, agensi kerajaan dan memberikan perkhidmatan dalam bidang perundingan dan penasihatan contohnya sebagai perunding pengurusan projek dan perancang perniagaan.

b. Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Keusahawanan Kejuruteraan) - RP52

Matlamat program ini adalah untuk melahirkan usahawan yang berasaskan kejuruteraan dan teknologi yang menyediakan pelajar dengan ilmu pengetahuan khusus dalam bidang keusahawanan dan pengurusan perniagaan serta ilmu dan kemahiran asas dalam bidang kejuruteraan. Program ini direkabentuk untuk para pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan tetapi mahu membangunkan pengetahuan dan kemahiran asas ilmu kejuruteraan yang berkaitan dengan penghasilan dan pemasaran produk-produk berasaskan teknologi dan industri. Seterusnya, program ini berhasrat melahirkan siswazah yang mempunyai kefahaman dan kemahiran yang lebih seimbang tentang aspek keusahawanan dan teknikal melalui pembelajaran kursus-kursus asas kejuruteraan dan keusahawanan, berdikari, komited terhadap lapangan yang diceburi serta mempunyai daya saing yang tinggi untuk berhadapan dengan cabaran di era globalisasi masa kini.

Graduan dari Keusahawanan Kejuruteraan mempunyai prospek kerjaya yang amat baik memandangkan mereka dilatih untuk menjadi usahawan teknologi yang berjaya. Berbekalkan ilmu, kemahiran dan pengalaman mengikut program inkubator secara off-campus, siswazah diyakini mampu menceburkan diri secara sepenuh masa dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Tidak dinafikan, mereka akan berhadapan dengan segala risiko yang perlu dihadapi oleh seorang usahawan, namun diyakini siswazah-siswazah keluaran program ini mempunyai komitmen, kecekalan dan daya saing yang tinggi untuk terus berjaya dalam alam perniagaan dan keusahawanan.


PUSAT-PUSAT PEMANTAPAN AKADEMIK

Selain dari pusat-pusat pengajian yang menawarkan program-program ijazah, terdapat beberapa pusat yang ditubuhkan bagi menyokong kepentingan akademik UniMAP iaitu:

1. Pusat Teknologi Komunikasi & Pembangunan Modal Insan (PTKPI)

Pusat Teknologi Komunikasi & Pembangunan Modal Insan (PTKPI) merupakan sebuah pusat perkhidmatan akademik. Ia tidak menawarkan apa-apa program akademik yang membawa kepada penganugerahan ijazah. Sebaliknya, ia menawarkan kursus-kursus Teras, Wajib Universiti dan Opsyen yang wajib diambil oleh semua pelajar tanpa mengira program akademik mereka.

2. Pusat Ko-Kurikulum

Pusat Ko-Kurikulum merupakan sebuah pusat perkhidmatan akademik. Ia menawarkan kursus-kursus keperluan universiti yang wajib diambil oleh semua pelajar termasuk ko-kurikulum untuk pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Badan Berunifrom untuk pelajar Diploma. Antara matlamat pusat ini adalah untuk mengembang dan memajukan bakat yang ada pada para pelajar di dalam bidang ko-kurikulum supaya dapat diketengahkan untuk mewakili UniMAP ke peringkat luar, mendedahkan aspek kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran kepimpinan, serta disiplin kepada para pelajar dan memperbanyakkan platform kerjasama diantara universiti lain samada di dalam atau luar negara melalui aktiviti kokurikulum.

3. Pusat Kerjasama Industri (Center For Industrial Collaboration, CIC)

Pusat Kerjasama Industri berperanan menjalin hubungan dengan pihak industri dari pelbagai aspek, terutama dalam program-program yang berkait terus dengan pembelajaran pelajar. Program seperti Pendedahan Industri (IndEx), Latihan Industri (InTra), Ceramah Industri (Industrial Talk), Latihan Staf Akademik (Staff Internship) dan lain-lain lagi diselia dan diselaraskan oleh pusat ini. Selain itu Program Keusahawanan Industri (IndEnt) juga diselaraskan oleh CIC dan ianya merupakan sebahagian daripada Kursus Keusahawanan Kejuruteraan. Sebahagian besar dari program ini wajib diikuti oleh semua pelajar. Maklumat mengenai program-program ini dihebahkan kepada pelajar dari masa ke semasa.

Beberapa program yang berkaitan dengan kebolehpasaran graduan juga turut diselia oleh CIC. Antara program yang dimaksudkan adalah 'job camp', 'degree ++', 'career talk & interview' dan penganjur bersama program karnival kerjaya dan sebagainya.

CIC juga menyelaras penganjuran kursus-kursus jangka pendek, kerja-kerja perundingan dan pengujian disamping mengurus memorandum perjanjian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU).

4. Pusat Kejuruteraan

Pusat Kejuruteraan ditubuhkan bagi mengendalikan makmal dan bengkel umum (gunasama) yang diperlukan oleh pelbagai program yang ditawarkan di UniMAP. Oleh kerana program-program yang ditawarkan adalah berkaitan dengan kejuruteraan, maka penekanan kepada kemahiran penggunaan peralatan kejuruteraan adalah perlu secara intensif. Di samping itu, Pusat Kejuruteraan juga menyokong aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di UniMAP. Antara makmal yang terdapat di sini termasuklah Makmal Fabrikasi PCB, Makmal PLC, Makmal Asas Komputer, Makmal CAD/CAM, Bengkel Kejuruteraan Elektrik, Bengkel Kejuruteraan Mekanikal, Studio Lukisan Kejuruteraan dan juga Kilang Mengajar.

5. Institut Matematik Kejuruteraan

Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) adalah sebuah pusat bagi merancang, menawar dan memantau kurikulum matematik kejuruteraan di UniMAP. IMK juga berperanan sebagai institut penyelidikan matematik kejuruteraan dan juga sebagai pusat rujukan dan memberi khidmat kepakaran dalam bidang kaedah penyelidikan matematik, simulasi, kaedah statistik dan penyelidikan operasi. IMK juga sebagai pusat latihan bagi masyarakat kampus dan luar kampus dalam bidang yang berkaitan dengan matematik.

Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) tidak menawarkan apa-apa program akademik yang membawa kepada penganugerahan Diploma dan Ijazah, sebaliknya pihak IMK menawarkan kursus-kursus Teras Universiti yang wajib diambil oleh semua pelajar tanpa mengira program akademik mereka.


MAKLUMAT LANJUT 
 
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web UniMAP di www.unimap.edu.my atau menghubungi Pejabat Pendaftar (Unit Kemasukan & Rekod Pelajar) seperti alamat di bawah: 
 

Jabatan Pendaftar
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Bahagian Pengurusan Akademik
Unit Kemasukan dan Rekod Pelajar
Tingkat 3, Bangunan KWSP
Jalan Bukit lagi
01000 Kangar, Perlis
Tel: 04-979 8701/8702/8706/7940/7941/ 977 2984
Faks: 04-979 8703
e-mel: 
kemasukan@unimap.edu.my

Comments